Assalamualaikum
dan salam sejahtera kepada para pembaca.
KETIKA pelbagai misteri yang
membabitkan piramid di Mesir dan piramid kaum Maya di Amerika Selatan masih
membingungkan para penyelidik, tiba-tiba muncul pula sebuah lagi penemuan
misteri piramid yang dijumpai berlokasi di Jepun pada tahun 1990-an malah
penemuan piramid ini jauh lebih aneh kerana ia dijumpai berada di dasar lautan
Jepun.
Pelbagai
persoalan tercetus tatkala melihat piramid berkenaan terus berdiri kukuh di
dalam laut melewati masa dan zaman – siapakah yang membina piramid di dalam
laut, untuk apakah ia dibina dan bilakah ia dibina? Mengapakah pembinaannya
tidak dilakukan di atas daratan?
Bingung
dengan pelbagai persoalan itu maka para penyelidik mulai melakukan pelbagai
kajian bagi membongkarkan teka-teki yang menyelubungi piramid misteri di dasar
laut Jepun berkenaan.
Sebelum
itu, piramid pertama mulai dijumpai di pelbagai wilayah negara matahari terbit
itu sejak tahun 1950-an lagi sekaligus ia meninggalkan pelbagai persoalan
mengenai hubungan bangunan berbentuk segitiga berkenaan dengan tamadun purbakala
masyarakat Jepun kuno.
Sejak
itu, beberapa lagi piramid purba berjaya ditemui yang ditinggalkan dengan
permukaannya ditutupi oleh debu dan tanah. Ia dipenuhi dengan pelbagai macam
tumbuhan liar sehingga bahagian luarnya tampak seperti sebuah gunung yang
tinggi.
Bagaimanapun,
sejak bulan Mac 1995, sesuatu yang mengejutkan turut ditemui – penyelam yang
menyelam di dasar laut negara itu mendapati piramid di Jepun tidak sahaja
berada di atas daratan tetapi juga di dalam lautan. Mereka menemui lapan lokasi
peninggalan piramid sekitar Hiroshima hingga ke laut Pulau Yonaguni.
Tapak
tinggalan pertama adalah sebuah bangunan empat segi yang tidak begitu jelas
bentuk binaannya kerana ditutupi oleh batu karang sehingga bahagian buatan
manusianya tidak dapat dikenal pastikan.
Sesudah
itu seorang penyelam lain turut menemui sebuah piramid pada kedalaman kira-kira
13 meter di bawah permukaan laut Oklahoma Selatan pada musim panas 1996.
Penemuan
itu semakin menaikkan semangat pasukan penyelidik untuk membongkarkan rahsia
yang tersembunyi di dalam wilayah lautan Jepun. Gerakan mencari diperhebatkan
dan kumpulan penyelam berkenaan kemudian berjaya pula menemui lebih banyak lagi
monumen dan bangunan buatan manusia di dalam laut Jepun.
Mereka
turut menemui kesan jalan yang panjang dan luas, tangga dan pintu melengkung
yang tinggi dan megah serta batu raksasa yang dipotong dengan sempurna
seolah-olah kawasan itu pernah didiami manusia suatu ketika dahulu.
Beberapa
bulan kemudian, beberapa kalangan ahli arkeologi Jepun sekali lagi menemui
bangunan berbentuk piramid yang sangat besar pada kedalaman 33 meter di bawah
permukaan laut terbabit yang berada tidak jauh dari pergunungan Sinaguni yang
terletak kira-kira 450 meter dari Hiroshima.
Bangunan
raksasa itu berukuran sekitar 80 meter panjang, 200 meter lebar dan 30 meter
tinggi terletak di sebuah kawasan luas yang kelihatannya seolah-olah telah
digunakan untuk menjalankan suatu upacara tertentu dengan kedua belah sisinya
terdapat sebuah pintu gerbang yang besar.
Pelbagai
penemuan misteri itu semakin membingungkan para penyelidik – apakah wujud
manusia yang hidup di dalam lautan dan ke mana menghilangnya manusia² itu
ketika ini?
Ahli
arkeologi berpendapat bahawa kewujudan piramid di bawah laut itu mungkin adalah
bukti awal bagi menunjukkan adanya peradaban zaman batu di Jepun yang masih
belum diketahui sesiapakah pemiliknya.
Ahli
geologi, Profesor Masaki Kimura yang telah menjadi pengkaji pertama meneliti
misteri itu menyimpulkan bahawa bangunan lima tingkat itu adalah buatan ciptaan
manusia.
“
Struktur
ini bukanlah binaan yang wujud akibat alam semula jadi. Di sekeliling strukrur
bangunan tersebut terdapatnya sesuatu yang mirip seperti laluan perjalanan dan
ini semakin membuktikan bahawa ia adalah buatan manusia,” katanya ketika mulai
mengulas penemuan itu lebih 10 tahun lalu.
Profesor
Kimura percaya bahawa bangunan itu telah berusia lebih daripada 5,000 tahun
lalu berdasarkan stalaktit yang ditemui pada gua di dasar lautan
itu. Beliau juga berpendapat bahawa masih terlalu awal untuk mengetahui
siapakah yang membina monumen berkenaan atau apakah tujuannya.
“Struktur
bangunan ini mungkin merupakan sebuah istana dewa daripada agama zaman dahulu
dan ia digunakan untuk tujuan memuja dewa² tertentu, sama seperti penduduk
Hiroshima yang mempercayai kewujudan dewa Nirai-Kanai yang mampu mendatangkan
kesejahteraan dari laut kepada mereka.
“Berdasarkan
catatan, pada 10,000 tahun silam tidak ada manusia yang mampu menghasilkan
monumen seperti ini tetapi kini mungkin terdapat bukti peradaban manusia yang
masih belum diselongkarkan sejarah kewujudannya.
“Hanya
manusia yang mampu memiliki teknologi bagi menyelesaikan projek seperti ini,
bangunan yang sebegini besar harus menggunakan jentera pembuatan tertentu untuk
membinanya,” katanya.
Yang
terbaru profesor bersebut menyatakan bahawa teori terkini beliau selepas
meneliti dan menjalankan kajian lebih 10 tahun terhadap binaan piramid tersebut
adalah bahawa piramid itu sebenarnya bukanlah dibina di dalam laut tetapi
ia sebenarnya berada di atas daratan tetapi kemudiannya telah tenggelam di
dasar laut akibat dilanda bencana tsunami ribuan tahun lalu.
Bagaimanapun,
teori itu masih lagi dipertikaikan oleh para penyelidik lain. Rekod catatan
sejarah menunjukkan tsunami terbesar yang pernah menghempas Yonaguni adalah
pada bulan April 1771 dan ia dianggarkan setinggi 40 meter dan dipercayai mampu
menenggelamkan serta memusnahkan peradaban di tepi pantai berkenaan.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar